Welcome to RSMC The purpose of the Road Safety Marshal Club is to bring together the road users whose common interest is to promote road safety and wish to play a role to promote road safety awareness within communities.


Mailing Address 
No 32, Jalan Wirawati 6, Taman Maluri, 55100 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : 603 9200 1994      Fax : 603 9200 6995  
website : www.rsmc.org.my

'LEAD TO PROTECT'

HOME

 

HARIAN METRO | 17/01/2009 5:18pm

Kes salah faham saman tali pinggang keledar belakang

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menegaskan tiada saman dikeluarkan ke atas pemilik kenderaan persendirian yang tidak mempunyai tali pinggang belakang, meskipun terdapat laporan mengatakan kes sebaliknya berlaku.

Ketua Pengarahnya, Datuk Suret Singh, berkata dasar sudah menetapkan kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995 tidak dikenakan saman sehingga pemasangan tali pinggang belakangnya selesai, justeru semua pihak harus mematuhinya.

“Ini memang dasar kita apabila melaksanakan peraturan pemakaian tali pinggang belakang bagi kenderaan persendirian, tetapi bila berlakunya kes saman dikeluarkan ke atas kenderaan tidak sepatutnya, maka ia perlu dirujuk kembali.

“Pihak kami memang menerima laporan berlakunya kes begini di Pulau Pinang dan Johor, tetapi jumlahnya tidak banyak dan boleh dianggap sebagai kes terpencil berdasarkan jumlah pengadu.

“Saya anggap ia berlaku disebabkan salah faham di kalangan pegawai berkuasa bertugas yang mungkin masih keliru dan kurang faham mengenai dasar ditetapkan untuk peraturan ini,” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Penunggang Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Edaran Modenas Sdn Bhd, Amir Abu Bakar; Timbalan Pengurus Jabatan Keselamatan Trafik, Unit Informasi dan Analisis Trafik Plus, Mizahanita Md Din dan Presiden Road Safety Marshal Club (RSMC), K Balasupramaniam.

Bagaimanapun, Suret berkata, pemilik kenderaan persendirian yang berdepan situasi perlu membuat laporan dengan pihaknya untuk tindakan lanjut termasuk membatalkan saman diterima.

“Selagi tali pinggang belakang belum siap dipasang mengikut tempoh tiga tahun yang diperjelaskan, maka tiada saman dikeluarkan,” katanya.

Namun katanya, itu bukan alasan untuk pemilik kenderaan melengahkan usaha pemasangan tali pinggang belakang.

Sebanyak 100,000 kereta Kancil diberi pengecualian saman berikutan kenderaan tidak dilengkapi ‘sudut’ khas membolehkan tali pinggang belakang dipasang, manakala kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995 diberi tempoh tiga tahun untuk memasangnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan JKJR akan menjalin kerjasama lebih erat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengadakan program membolehkan penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memperolehinya secara sah.

“Kami dapati ramai penunggang yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal dan mereka yang berminat boleh menghubungi RSMC di www.rsmc. org.my atau 03-92001994 untuk maklumat lanjut,” katanya.


www.hmetro.com.my

 

Copyright © RSMC. All Rights Reserved.
Questions or comments?
Send email to
mvfra_anita@hotmail.com